Saturday 6 August 2011

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN BERDASARKAN HADIS RASULULLAH SAW

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

" Katakanlah (Wahai Muhammad) : ' Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berkumpul dengan tujuan untuk membuat dan mendatangkan yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.' "  
 (Surah al-Isra' 17:88)

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian, pada kali ini saya ingin berkongsi ilmu tentang kelebihan membaca al-Quran dan dengan sedikit perkongsian ini, moga anda dan saya mendapat manfaat untuk diamalkan dalam kehidupan bagi mencapai redha Allah S.W.T.
Dalil-dalil mengenai kelebihan membaca al-Quran yang saya akan sertakan adalah diambil daripada Mukhtasar Riyadhus Solihin (Ringkasan Riyadhus Solihin) yang diringkaskan oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani daripada kitab asal Riyadhus Solihin yang ditulis oleh Imam Nawawi.

Kelebihan al-Quran dan membacanya 

Al-Bukhari meriwayatkan daripada uthman r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: "sebaik-baik kamu adalah orang yang mahu mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain."          (Riwayat al-Bukhari)


Muslim meriwayatkan daripada Abu Umamah r.a., beliau berkata:
" Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: " Bacalah al-Quran, kerana pada hari Kiamat kelak dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya"          (Riwayat Muslim)


Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a., daripada Nabi S.A.W., Baginda bersabda:

"Tidak boleh ada iri hati, kecuali dalam dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang diberi kemampuan menghafal al-Quran, lalu ia membacanya, baik pada malam hari mahupun siang hari; dan terhadap seseorang yang dikurniakan harta oleh Allah, lalu ia infakkan, baik pada malam hari mahupun siang hari."

( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Orang yang gemar membaca al-Quran dan sudah mahir dalam membacanya kelak akan bersama golongan mereka yang mulia lagi berbakti. Adapun orang yang gemar membaca al-Quran, namun dalam membacanya masih terangkak-rangkak, maka ia akan mendapat dua pahala."   ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
" Rasulullah S.A.W. bersabda:

" Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu membaca kitab Allah dan mempelajarinya , melainkan akan turun ketenangan kepada mereka; mereka akan diliputi rahmat; mereka akan dinaungi para malaikat; dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya. "

Thursday 9 June 2011

Islam & Sains

DUNIA SAINS ISLAM DAN SAINS BARAT
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” (Surah Al-Fussilat ayat 53)

Ayat di atas merupakan petikan daripada surah Al-Fussilat ayat 53 yang mana jelas menunjukkan kepada umat manusia tentang kebenaran Al-Quran(Islam) terhadap segenap aspek kehidupan manusia sama ada pada kejadian alam semesta ini mahupun kejadian pada diri manusia itu sendiri. Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. iaitu pada zaman kemunduran ilmu pengetahuan yang mana masyarakat pada zaman tersebut tidak mengkaji dan menghayati kepentingan ilmu pengetahuan dalam seluruh kehidupan. Namun, setelah kedatangan Islam, segala-galanya telah berubah iaitu daripada zaman kegelapan tanpa ilmu pengetahuan kepada zaman yang mula  mementingkan ilmu pengetahuan sehingga menjadi suatu kewajiban bagi umat Islam untuk menuntut ilmu. Hadis Nabi s.a.w.:

"Menuntut Ilmu adalah fardhu kepada setiap orang Islam, dan meletakkan ilmu kepada yang bukan ahlinya tidak ubah seperti menggantungkan permata, mutiara dan emas kepada seekor babi."
(riwayat Ibnu Majah)

Pada perbincangan kali ini, perkara yang  lebih difokuskan adalah tentang dunia sains Islam dan sains Barat!!
Apakah yang dimaksudkan sains Islam dan keterbatasannya terhadap umat Islam?? sains Barat??  Percanggahan antara kedua-kedua perkara tersebut??


 SAINS ISLAM

Islam adalah agama yang tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah “systematized knowledge in any field,but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience”. Ianya bermaksud “sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif”.
Islam memberikan kebebasan kepada umatnya untuk mengkaji dan mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan mereka, namun wujud keterbatasan intelek dalam diri manusia yang mana keterbatasan intelek tersebut tidak boleh mengatasi satu faktor iaitu wahyu. Hal ini kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan kemampuan akal  manusia bersifat terbatas. Oleh itu,apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa konklusi yang selari dengan wahyu boleh diterima.
Dalam skop pengkajian ilmu sains berteraskan agama Islam, matlamatnya terbahagi kepada dua jenis, pertama matlamat jangka pendek dan kedua matlamat jangka panjang (berdasarkan pandangan Dr.Danial bin Zainal Abidin). Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian manusia dan alam semesta serta memanfaatkan ilmu tersebut untuk kebaikan manusia. Matlamat jangka panjang adalah mengagungkan dan membesarkan Allah s.w.t. Hal ini dibuktikan dengan ayat dibawah:

“Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” (surah al-Mukminun ayat 14).

Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi (dan hal ini dapat disahkan oleh sains), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, “Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” Inilah matlamat asasi sains, iaitu untuk mengagungkan Allah.

Sains barat

 Jika kita melihat pandangan ilmuwan sains di Barat, ianya berbeza dengan ilmuwan Islam. Di Barat, konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains.”... Isu ini secara umumnya  menggambarkan pemikiran dan pandangan mereka terhadap konsep Tuhan, perkara ghaib dan lain-lain lagi sebagai suatu yang tidak boleh diterima oleh mereka walaupun terdapat sebilangan ilmuwan di Barat yang telah menerima kebenaran Islam.

PERCANGGAHAN SAINS ISLAM DAN SAINS BARAT

Pada masa kini, kebanyakan umat Islam telah banyak dipengaruhi dengan teori, ideologi, dan ilmu  Barat yang banyak terpesong dari landasan atau kebenaran Islam.
Contohnya, pada abad ini, telah tersebarnya isu pengklonan manusia yang mendapat tentangan dari ramai ahli-ahli perubatan. Teknologi pengklonan ini bermula apabila Ian Wilmutt menghasilkan biri-biri klon  yang dikenali sebagai Dolly, kemudian setelah itu munculah pendapat atau pihak yang mahu menjalankan pengklonan manusia. Pengklonan melibatkan sel matang yang mengandungi DNA, kemudian dimasukkan ke dalam ovum yang tidak tersenyawa yang mana  nukleus tidak wujud lagi di dalamnya. Proses ini tidak melibatkan ovum dan sperma(air mani) dan perkara ini jelas bertentangan di dalam al-Quran.

" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia  daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat (Surah al-Insan ayat 2)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah Taala menjadikan manusia melalui percantuman air mani lelaki di dalam rahim wanita. Selain itu juga, jika kita lihat dari segi  sifat fizikal bayi yang normal, ianya berbeza dari bayi yang melalui proses pengklonan. Bayi yang normal biasanya mempunyai ciri genetik yang unik iaitu ciri-ciri yang diwarisi adalah hasil 2 gabungan genetik ibu dan bapa mereka.
Hal ini bebeza terhadap bayi pengklonan yang mana ciri genetiknya sama dengan penyumbang DNAnya. Situasi  ini jelas membuktikan kelemahan sains teknologi manusia yang mendatangkan impak negatif jika dibandingkan dengan ciptaan Allah s.w.t. yang hebat dan lengkap.
Pengklonan juga mengakibatkan berleluasanya aktiviti perdagangan gen. Bagaimana ini berlaku?? Fenomena ini berlaku apabilasebilangan artis terkenal, pemimpin tersohor dan para intelek mahu memasarkan gen mereka kepada sesiapa yang mahukan anak  yang mempunyai ciri-ciri seperti mereka. Oleh itu, sebagai umat Islam kita haruslah mampu membezakan sama ada sains yang bercanggah atau tidak bercanggah dengan ketentuan Islam supaya kita tidak mendapat kesan buruk pada akhirnya.
Kita juga didedahkan dengan isu pembedahan plastik untuk mencantikkan wajah, penggunaan botulinum toxin(botox) untuk menegangkan kulit dan sebagainya. Kesemua ini merupakan pengaruh Barat yang mampu mengancam umat Islam. Dalam kedua-dua isu tersebut, Islam telah mengharamkan perbuatan tersebut dengan tujuan kecantikan semata-mata sebagaimana firman Allah s.w.t.


 Kata Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi  "Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran" (Al-Halal wal Haram Fil Islam ).

“Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang  beriman dan beramal soleh,dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah al-Asr ayat 1-3

Friday 6 May 2011

SOLAT

KEWAJIPAN SOLAT

Allah S.W.T. berfirman:
"...sesungguhnya solat itu diperlukan atas orang-orang mukmin pada waktunya."
(Surah An-Nisa' : 103)

Rasulullah S.A.W. bersabda :
" solat lima waktu diwajibkan Allah atas hamba-hambaNya. Sesiapa melakukannya dan tidak mensia-siakan sesuatu darinya  kerana meremehkan haknya, maka untuknya di sisi Allah ada janji bahawa akan memasukkan dia ke syurga. "

Rasulullah S.A.W. bersabda :
"Apakah amal yang paling utama?" Baginda menjawab, "Solat pada waktunya"



Pada masa kini, dapatlah kita lihat bahawa pelbagai bencana atau kecelakaan yang wujud dari pelbagai sudut seperti bencana dalam keluarga, masyarakat, bencana alam dan sebagainya. Jika kita lihat dengan lebih teliti, kesemua bencana tersebut wujud hasil perbuatan dosa yang telah dilakukan oleh manusia. Contohnya, manusia sering kali meninggalkan solat fardhu 5 waktu. Solat fardhu merupakan tuntutan ibadat yang amat penting kepada umat Islam sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. :

" sesiapa memeliharanya (solat), maka baginya nur dan selamatlah dia pada hari kiamat. Dan siapa yang tidak menjaganya, maka tidak ada baginya nur dan keselamatan. Pada Hari Kiamat, ia bersama Qarun, Hamman, Firaun, dan Ubai bin Khalaf."

Saudara-saudaraku sekalian, apabila kita menghayati dan mengambil pengajaran daripada hadis ini, maka seharusnya kita tanamkan dalam diri kita bahawa solat itu merupakan suatu amalan yang wajib kita jaga dan pelihara, iaitu dengan cara mengerjakannya pada awal waktu, melaksanakan solat dengan penuh khusyuk, menjaga perkara-perkara rukun dalam solat dan yang paling penting sekali menjaga keikhlasan hati dalam melaksanakan ibadat solat. Sesungguhnya, Ibadat yang disertai dengan perasaan riak, ujub dan penyakit-penyakit hati lain, akan menyebabkan ibadat seseorang itu tertolak. Insaflah... adakah pada Hari Kiamat, kita mahu bersama dengan Qarun, Hamman, Firaun dan Ubai bin Khilaf ? tentunya kita tidak mahu bersama mereka kerana mereka merupakan manusia yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. dengan azab seksa.

Telah berkata Abu Hurairah r.a., " siapa wudhuk dengan baik, lalu keluar hendak solat, sesungguhnya ia dalam solat selama menuju kepadanya dan ditulis untuknya setiap langkah satu kebaikan dan dihapus dengan langkah berikutnya satu keburukan. Jika mendengar qamat, tidak seharusnya kamu memperlambat. Sungguh yang paling agung pahalanya adalah kamu yang paling jauh rumahnya. " Mengapa wahai Abu Hurairah?" Tanya mereka. Dia berkata, " Kerana banyaknya langkah."

Rasulullah S.A.W. bersabda :

" setiap Muslim yang sujud kepada Allah satu kali, maka Dia akan mengangkat darjatnya dan menghapus keburukannya."

Dalam Ibadat solat, kita dapat melaksanakan rukun sujud. Sujud merupakan situasi atau keadaan dimana seseorang hamba paling hampir dengan Penciptanya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

" Dan sujudlah (kepada Allah) dan berhampir dirilah (kepada-Nya) "
(Surah Al-Alaq : 19)

Oleh itu, kita digalakkan berdoa atau memohon suatu hajat pada ketika sujud kerana pada waktu itu, kita sangat hampir kepada Allah S.W.T.

SEKSAAN MENINGGALKAN SOLAT

Dosa meninggalkan solat Fardhu:

 1. Solat Subuh : satu kali meninggalkan akan dimasukkan ke dalam Neraka selama 30 tahun yang sama dengan 60,000 tahun di dunia.

2. Solat Zuhur : satu kali meninggalkan sama dosanya dengan membunuh 1000 orang umat Islam.

3. Solat Asar : satu kali meninggalkan sama dosanya dengan meruntuhkan Ka'abah.

4. Solat Maghrib : satu kali meninggalkan dosanya sama dengan berzina dengan orang tuanya.

5. Solat Isya' : satu kali meninggalkan, tidak akan di-Redhai oleh Allah S.W.T. tinggal di bumi atau di bawah langit serta makan dan minum dari nikmatnya.

6 Siksa di dunia bagi orang yang meninggalkan solat fardhu : 

1. Allah S.W.T. mengurangi keberkatan umurnya.

2. Allah S.W.T. akan mempersulitkan rezeki baginya.

3. Allah S.W.T. akan menghilangkan tanda/cahaya solat pada wajahnya.

4. Orang yang meninggalkan solat tidak mendapat tempat dalam Islam.

5. Amal kebaikan yang pernah dilakukannya tidak diterima oleh Allah S.W.T.

6. Allah S.W.T. tidak akan memperkenankan doanya.

3 Siksa ketika menghadapi kematian bagi orang yang meninggalkan solat fardhu :

1. Akan menghadapi sakratul maut dalam keadaan hina.

2. Meninggal dalam keadaan yang sangat lapar.

3. Meninggal dalam keadaan yang sangat haus.

3 Siksa di dalam kubur bagi orang yang meninggalkan solat fardhu :

1. Allah S.W.T. akan mempersempitkan kuburnya.

2. Kuburnya akan sangat gelap.

3. Disiksa sampai hari Kiamat tiba.

3 Siksa orang yang meninggalkan solat fardhu ketika bertemu Allah S.W.T. :

1. Akan dibelenggu oleh Malaikat.

2. Allah S.W.T. tidak akan memandangnya dengan penuh kasih sayang.

3. Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan dosa-dosanya dan akan di azab dengan pedih di Neraka.


Daripada maklumat di atas tentang siksa bagi orang yang meninggalkan solat, dapatlah kiranya memberi peringatan kepada saya yang sering lupa dan juga kepada pembaca untuk menginsafi dan menyebarkan kepada umat Islam....InsyaAllah...

Akhir sekali, ambillah pengajaran daripada Hadis nabi S.A.W. yang bermaksud :

" Jangan kau sekutukan sesuatu dengan Allah. Meski kau dipotong, dibakar atau disalib. Jangan kau sengajakan tinggalkan solat. Siapa meninggalkannya, telah keluar dari agama ini. Jangan kau lakukan maksiat. Itu kemurkaan Allah. Jangan kau minum arak. Itu sumber segala kesalahan."




Saturday 30 April 2011

Tipu Daya Syaitan

          Awaslah saudara-saudaraku terhadap ancaman syaitan!!

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya syaitan bagimu adalah musuh, maka jadikanlah  dia  sebagai musuh!”

Renungilah kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW :

Dirawikan dari Nabi SAW, baginda bersabda: “ Di kaum Bani Israel ada seorang rahib. Syaitan hendak menjeratnya dengan cara merasuk tubuh seorang  jariah. Kemudian diilhamkan ke dalam hati keluarganya agar mengubatnya saja kepada seorang rahib . Mereka membawanya kepada rahib dan rahib tersebut menolak permintaan tersebut. Namun keluarga tersebut sering datang sehingga rahib itu menerimanya. Ketika jariah itu ada di sisi rahib untuk diubati, syaitan datang menggoda sehingga rahib itu menghamili  jariah tersebut. Syaitan lalu berbisik kepada rahib” Dia hanya akan mencemarkanmu saja bila keluarganya datang. Maka bunuhlah dia ! Bila keluarganya datang bertanya padamu, kata saja dia telah mati.” Rahib itu membunuh lalu menguburkannya. Kemudian syaitan membisikkan kepada hati keluarga jariah tersebut bahawa rahib itu telah menghamili , membunuh dan menguburkannya. Kemudian keluarga itu segera datang kepada rahib dan bertanya tentang anaknya. Rahib berkata dia telah mati. Namun mereka hendak membunuh rahib itu. Kemudian syaitan menghampiri rahib dan berkata” Akulah yang menyerupai jariah itu hingga sakit. Aku pula yang menggoda hati keluarganya. Maka taatlah kepadaku, tentu kau kuselamatkan dari mereka.” “ Dengan apa? “ Tanya rahib. Syaitan berkata “ Bersujudlah kepadaku dua kali!” kemudian rahib sujud kepadanya dua kali, lantas syaitan berkata, “ Sungguh aku tidak perlu menanggungmu”

Inilah yang telah diingatkan oleh Allah SWT: “ Dan seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia : Kafirlah (menyangkallah) engkau. Maka tatkala manusia itu kafir ia berkata: Aku berlepas diri daripadamu...”                       ( As-Hasyr: 16 )           




7 perkara yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali tentang tipu daya syaitan terhadap manusia supaya manusia meninggalkan Ibadat kepada Allah:

1 . Syaitan melarang manusia untuk taat perintah Allah SWT
Bagi manusia yang dilindungi Allah SWT, akan berkata “aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.
2 . Syaitan menghasut supaya manusia menangguh-nangguhkan dalam melaksanakan ibadat.
 Orang yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan “ kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalan ku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku melakukan amal  yan g berlainan.”

3 . Syaitan menyuruh manusia bersegera dalam melakukan amal kebaikan. 
Syaitan berkata “ cepat beramal agar engkau dapat melakukan amalan-amalan yang lain”. Orang yang dipelihara oleh Allah SWT akan mengingatkan dirinya dengan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud” sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit”

4 . Syaitan menyuruh manusia melakukan ibadat dengan sempurna agar tidak dicela oleh orang lain.
 Orang-orang yang selamat akan berkata “ penilaian cukup hanya bagi Allah SWT dan tidak bermanfaat beramal kerana manusia”.

5 .Syaitan mendorong  manusia untuk berasa takjub  terhadap ibadat yang dilakukan. 
Syaitan berkata “ betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu”. Orang yang dipelihara oleh Allah SWT akan mengingatkan diri dengan berkata “ semua kesempurnaan dan kekuatan hanyalah milik Allah dan bukanlah  kekuatan dan kesempurnaanku. . Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk aku  beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula”.

6 . Syaitan menghasut  manusia untuk beribadat tetapi memasukkan sedikit perasaan riak dalam hati manusia  iaitu berharap amalan yang dilakukan diketahui orang lain.
Orang yang selamat akan berkata “‘Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia”

7 . Syaitan berkata” :
 ‘Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka”. Orang yang beriman akan berkata “ Aku hanyalah hamba Allah dan wajib bagiku menuruti perintahnya. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku tetap melakukan ibadat untuk perbanyakkan pahala dan sebaliknya jika aku ditentukan sebagai orang yang celaka, aku tetap terus beribadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku.”

7 Dosa-dosa Besar


Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :”Jauhilah diri kamu daripada 7 dosa yang  boleh membinasakan. Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?”Baginda berkata:”Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba’, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (hadis Riwayat Muslim)








SYIRIK KEPADA ALLAH S.W.T. : 
Mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain seperti mempercayai perkara khurafat, memuja syaitan dan sebagainya.

SIHIR :
sihir adalah kesepakatan antara tukang sihir dan syaitan dengan ketentuan bahawa tukang sihir akan melakukan berbagai keharaman atau kesyirikan dengan imbalan pemberian pertolongan syaitan kepadanya dan ketaatan untuk melakukan apa sahaja yang dimintanya contohnya keinginan mendatangkan kesusahan kepada individu lain.

MEMBUNUH JIWA YANG HARAM
Membunuh jiwa tanpa sebab yang dibenarkan oleh Islam iaitu membunuh dengan sengaja seseorang individu contohnya apa yang berlaku pada hari ini seperti pembuangan bayi, sikap kaum Yahudi membunuh orang Islam, rompakan yang disusuli dengan pembunuhan dan sebagainya.

MEMAKAN HARTA ANAK YATIM
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya, hanya mereka memakan api masuk perutnya dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka.”  (Surah An-Nisa’: 10)

MEMAKAN RIBA’ :
Dari Abdullah bin Salam, dari Nabi S.A.W, Baginda bersabda    “satu dirham yang didapatkan oleh seseorang dari sesuatu yang riba’, lebih besar dosanya di sisi Allah daripada tiga puluh tiga zina yang dilakukannya dalam Islam

LARI DARI MEDAN PERTEMPURAN PERANG :
Lari dari medan perang merupakan tindakan yang mendapat murka Allah S.W.T. kerana ianya dapat memusnahkan atau mengancam keselamatan umat Islam.

MENUDUH PEREMPUAN SUCI MELAKUKAN ZINA : 
Dalam Islam, orang yang melakukan perkara sedemikian tanpa mendatangkan 4 orang saksi perlu dihukum dengan 80 kali sebatan.



Wednesday 27 April 2011

Perkongsian Ilmu: Kepentingan Dakwah

Perkongsian Ilmu: Kepentingan Dakwah: "Assalamualaikum w.b.t. Kepada muslimin dan muslimah sekalian, perkongsian ilmu yang dapat saya kongsikan pada kali ini adalah kepentingan d..."

Tuesday 26 April 2011

Kepentingan Dakwah

Assalamualaikum w.b.t.
Kepada muslimin dan muslimah sekalian, perkongsian ilmu yang dapat saya kongsikan pada kali ini adalah kepentingan dakwah. Perkataan Dakwah berasal dari bahasa Arab iaitu da'a, yad'u yang bermaksud menyeru, memanggil dan mengajak. Namun, kita dapat lihat sama ada menyeru, memanggil atau mengajak itu dalam konteks ke arah perkara positif dan juga negatif.
Pada kali ini, apa yang hendak saya kongsikan adalah dakwah ke arah positif iaitu kepentingan umat Islam untuk berdakwah di jalan yang di-Redhai oleh Allah s.w.t. Kita merupakan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang dikurniakan pelbagai anugerah, keistimewaan dan Rahmat daripada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

           " Engkau umat terbaik dikeluarkan untuk manusia..." (Surah Ali-Imran : 110 )


Al-Kalbi mengatakan ayat ini menerangkan tentang kelebihan umat Islam berbanding umat-umat yang lain. Tetapi, sebagai umat Islam, janganlah kita lupa tentang tanggungjawab kita sebagai umat Islam iaitu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

" Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dibetulkan dengan secara hikmah iaitu dengan kuasanya, jika tidak mampu, dengan lisannya, jika tidak mampu lagi, dengan hatinya. Yang demikian ini iman terlemah "


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

" Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya (permusuhan) " ( Surah Al-Maidah : 2 )


Dalil-dalil di atas jelas membuktikan tanggungjawab kita dalam melaksanakan tugas dakwah sama ada kepada umat Islam atau bukan Islam. Namun, dalam melaksanakan dakwah tersebut, kita haruslah melaksanakan dengan cara yang berhikmah dan melengkapkan diri kita dengan sifat-sifat mahmudah. Ba'dhus Salaf berwasiat kepada anaknya seraya berkata " Bila kamu hendak amar makruf tanamlah dalam dirimu dengan sabar dan percayalah akan pahala Allah. Barangsiapa percaya akan pahala Allah, tidak akan terkena penyakit". Amalan dakwah merupakan amalan yang amat dicintai oleh Allah s.w.t.

       Abu Zar al Ghifari r.a. berkata : Telah berkata Abu Bakar As Shiddiq r.a. " Ya Rasulullah, adakah jihad selain memerangi kaum musyrikin?" Rasulullah s.a.w. menjawab " Sesungguhnya Allah punya para pejuang di muka bumi lebih utama dari para syuhada'. Mereka hidup diberi rezeki, dimuliakan Allah dan para Malaikat langit menghias Syurga untuk mereka." Abu Bakar bertanya, " Siapa mereka ?" Rasulullah s.a.w. menjawab, " Orang yang memerintah kebaikan melarang kemungkaran serta suka dan benci kerana Allah. Demi zat yang diriku dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya seorang hamba dalam bilik di atas bilik-bilik para syuhada. Tiap bilik ada tiga ratus pintu dari yakut dan zamrud hijau dan di atas tiap pintu ada nur. Tiap lelaki dari mereka dikahwinkan dengan tiga ratus bidadari yang bermata indah. Bila dia memandang salah seorang dari mereka, bidadari itu berkata " Ingatkah di hari itu kamu memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran? " Jika dia menoleh kepada bidadari, yang lain pun berkata, Ingatkah di tempat itu kamu amar makruf dan nahi mungkar? " ( dipetik dari terjemahan kitab Mukashafah Al qulub karangan Imam Al Ghazali)

       Sebagai kesimpulannya, umat Islam adalah umat istimewa berbanding umat-umat terdahulu, namun kita diamanah untuk melaksanakan dakwah seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.. Dakwah tersebut boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti secara lisan dengan penuh hikmah, melalui media massa seperti majalah, laman web, facebook dan sebagainya. Semoga perkongsian ilmu kali ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca dan memberi peringatan kepada penulis yang sering lupa terhadap tanggungjawab sebagai umat Islam. sekian, Wassalam...