Saturday 30 April 2011

Tipu Daya Syaitan

          Awaslah saudara-saudaraku terhadap ancaman syaitan!!

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya syaitan bagimu adalah musuh, maka jadikanlah  dia  sebagai musuh!”

Renungilah kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW :

Dirawikan dari Nabi SAW, baginda bersabda: “ Di kaum Bani Israel ada seorang rahib. Syaitan hendak menjeratnya dengan cara merasuk tubuh seorang  jariah. Kemudian diilhamkan ke dalam hati keluarganya agar mengubatnya saja kepada seorang rahib . Mereka membawanya kepada rahib dan rahib tersebut menolak permintaan tersebut. Namun keluarga tersebut sering datang sehingga rahib itu menerimanya. Ketika jariah itu ada di sisi rahib untuk diubati, syaitan datang menggoda sehingga rahib itu menghamili  jariah tersebut. Syaitan lalu berbisik kepada rahib” Dia hanya akan mencemarkanmu saja bila keluarganya datang. Maka bunuhlah dia ! Bila keluarganya datang bertanya padamu, kata saja dia telah mati.” Rahib itu membunuh lalu menguburkannya. Kemudian syaitan membisikkan kepada hati keluarga jariah tersebut bahawa rahib itu telah menghamili , membunuh dan menguburkannya. Kemudian keluarga itu segera datang kepada rahib dan bertanya tentang anaknya. Rahib berkata dia telah mati. Namun mereka hendak membunuh rahib itu. Kemudian syaitan menghampiri rahib dan berkata” Akulah yang menyerupai jariah itu hingga sakit. Aku pula yang menggoda hati keluarganya. Maka taatlah kepadaku, tentu kau kuselamatkan dari mereka.” “ Dengan apa? “ Tanya rahib. Syaitan berkata “ Bersujudlah kepadaku dua kali!” kemudian rahib sujud kepadanya dua kali, lantas syaitan berkata, “ Sungguh aku tidak perlu menanggungmu”

Inilah yang telah diingatkan oleh Allah SWT: “ Dan seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia : Kafirlah (menyangkallah) engkau. Maka tatkala manusia itu kafir ia berkata: Aku berlepas diri daripadamu...”                       ( As-Hasyr: 16 )           




7 perkara yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali tentang tipu daya syaitan terhadap manusia supaya manusia meninggalkan Ibadat kepada Allah:

1 . Syaitan melarang manusia untuk taat perintah Allah SWT
Bagi manusia yang dilindungi Allah SWT, akan berkata “aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.
2 . Syaitan menghasut supaya manusia menangguh-nangguhkan dalam melaksanakan ibadat.
 Orang yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan “ kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalan ku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku melakukan amal  yan g berlainan.”

3 . Syaitan menyuruh manusia bersegera dalam melakukan amal kebaikan. 
Syaitan berkata “ cepat beramal agar engkau dapat melakukan amalan-amalan yang lain”. Orang yang dipelihara oleh Allah SWT akan mengingatkan dirinya dengan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud” sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit”

4 . Syaitan menyuruh manusia melakukan ibadat dengan sempurna agar tidak dicela oleh orang lain.
 Orang-orang yang selamat akan berkata “ penilaian cukup hanya bagi Allah SWT dan tidak bermanfaat beramal kerana manusia”.

5 .Syaitan mendorong  manusia untuk berasa takjub  terhadap ibadat yang dilakukan. 
Syaitan berkata “ betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu”. Orang yang dipelihara oleh Allah SWT akan mengingatkan diri dengan berkata “ semua kesempurnaan dan kekuatan hanyalah milik Allah dan bukanlah  kekuatan dan kesempurnaanku. . Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk aku  beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula”.

6 . Syaitan menghasut  manusia untuk beribadat tetapi memasukkan sedikit perasaan riak dalam hati manusia  iaitu berharap amalan yang dilakukan diketahui orang lain.
Orang yang selamat akan berkata “‘Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia”

7 . Syaitan berkata” :
 ‘Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka”. Orang yang beriman akan berkata “ Aku hanyalah hamba Allah dan wajib bagiku menuruti perintahnya. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku tetap melakukan ibadat untuk perbanyakkan pahala dan sebaliknya jika aku ditentukan sebagai orang yang celaka, aku tetap terus beribadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku.”

7 Dosa-dosa Besar


Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :”Jauhilah diri kamu daripada 7 dosa yang  boleh membinasakan. Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?”Baginda berkata:”Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah S.W.T. melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba’, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (hadis Riwayat Muslim)








SYIRIK KEPADA ALLAH S.W.T. : 
Mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain seperti mempercayai perkara khurafat, memuja syaitan dan sebagainya.

SIHIR :
sihir adalah kesepakatan antara tukang sihir dan syaitan dengan ketentuan bahawa tukang sihir akan melakukan berbagai keharaman atau kesyirikan dengan imbalan pemberian pertolongan syaitan kepadanya dan ketaatan untuk melakukan apa sahaja yang dimintanya contohnya keinginan mendatangkan kesusahan kepada individu lain.

MEMBUNUH JIWA YANG HARAM
Membunuh jiwa tanpa sebab yang dibenarkan oleh Islam iaitu membunuh dengan sengaja seseorang individu contohnya apa yang berlaku pada hari ini seperti pembuangan bayi, sikap kaum Yahudi membunuh orang Islam, rompakan yang disusuli dengan pembunuhan dan sebagainya.

MEMAKAN HARTA ANAK YATIM
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya, hanya mereka memakan api masuk perutnya dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka.”  (Surah An-Nisa’: 10)

MEMAKAN RIBA’ :
Dari Abdullah bin Salam, dari Nabi S.A.W, Baginda bersabda    “satu dirham yang didapatkan oleh seseorang dari sesuatu yang riba’, lebih besar dosanya di sisi Allah daripada tiga puluh tiga zina yang dilakukannya dalam Islam

LARI DARI MEDAN PERTEMPURAN PERANG :
Lari dari medan perang merupakan tindakan yang mendapat murka Allah S.W.T. kerana ianya dapat memusnahkan atau mengancam keselamatan umat Islam.

MENUDUH PEREMPUAN SUCI MELAKUKAN ZINA : 
Dalam Islam, orang yang melakukan perkara sedemikian tanpa mendatangkan 4 orang saksi perlu dihukum dengan 80 kali sebatan.



Wednesday 27 April 2011

Perkongsian Ilmu: Kepentingan Dakwah

Perkongsian Ilmu: Kepentingan Dakwah: "Assalamualaikum w.b.t. Kepada muslimin dan muslimah sekalian, perkongsian ilmu yang dapat saya kongsikan pada kali ini adalah kepentingan d..."

Tuesday 26 April 2011

Kepentingan Dakwah

Assalamualaikum w.b.t.
Kepada muslimin dan muslimah sekalian, perkongsian ilmu yang dapat saya kongsikan pada kali ini adalah kepentingan dakwah. Perkataan Dakwah berasal dari bahasa Arab iaitu da'a, yad'u yang bermaksud menyeru, memanggil dan mengajak. Namun, kita dapat lihat sama ada menyeru, memanggil atau mengajak itu dalam konteks ke arah perkara positif dan juga negatif.
Pada kali ini, apa yang hendak saya kongsikan adalah dakwah ke arah positif iaitu kepentingan umat Islam untuk berdakwah di jalan yang di-Redhai oleh Allah s.w.t. Kita merupakan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang dikurniakan pelbagai anugerah, keistimewaan dan Rahmat daripada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

           " Engkau umat terbaik dikeluarkan untuk manusia..." (Surah Ali-Imran : 110 )


Al-Kalbi mengatakan ayat ini menerangkan tentang kelebihan umat Islam berbanding umat-umat yang lain. Tetapi, sebagai umat Islam, janganlah kita lupa tentang tanggungjawab kita sebagai umat Islam iaitu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

" Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dibetulkan dengan secara hikmah iaitu dengan kuasanya, jika tidak mampu, dengan lisannya, jika tidak mampu lagi, dengan hatinya. Yang demikian ini iman terlemah "


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

" Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya (permusuhan) " ( Surah Al-Maidah : 2 )


Dalil-dalil di atas jelas membuktikan tanggungjawab kita dalam melaksanakan tugas dakwah sama ada kepada umat Islam atau bukan Islam. Namun, dalam melaksanakan dakwah tersebut, kita haruslah melaksanakan dengan cara yang berhikmah dan melengkapkan diri kita dengan sifat-sifat mahmudah. Ba'dhus Salaf berwasiat kepada anaknya seraya berkata " Bila kamu hendak amar makruf tanamlah dalam dirimu dengan sabar dan percayalah akan pahala Allah. Barangsiapa percaya akan pahala Allah, tidak akan terkena penyakit". Amalan dakwah merupakan amalan yang amat dicintai oleh Allah s.w.t.

       Abu Zar al Ghifari r.a. berkata : Telah berkata Abu Bakar As Shiddiq r.a. " Ya Rasulullah, adakah jihad selain memerangi kaum musyrikin?" Rasulullah s.a.w. menjawab " Sesungguhnya Allah punya para pejuang di muka bumi lebih utama dari para syuhada'. Mereka hidup diberi rezeki, dimuliakan Allah dan para Malaikat langit menghias Syurga untuk mereka." Abu Bakar bertanya, " Siapa mereka ?" Rasulullah s.a.w. menjawab, " Orang yang memerintah kebaikan melarang kemungkaran serta suka dan benci kerana Allah. Demi zat yang diriku dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya seorang hamba dalam bilik di atas bilik-bilik para syuhada. Tiap bilik ada tiga ratus pintu dari yakut dan zamrud hijau dan di atas tiap pintu ada nur. Tiap lelaki dari mereka dikahwinkan dengan tiga ratus bidadari yang bermata indah. Bila dia memandang salah seorang dari mereka, bidadari itu berkata " Ingatkah di hari itu kamu memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran? " Jika dia menoleh kepada bidadari, yang lain pun berkata, Ingatkah di tempat itu kamu amar makruf dan nahi mungkar? " ( dipetik dari terjemahan kitab Mukashafah Al qulub karangan Imam Al Ghazali)

       Sebagai kesimpulannya, umat Islam adalah umat istimewa berbanding umat-umat terdahulu, namun kita diamanah untuk melaksanakan dakwah seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.. Dakwah tersebut boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti secara lisan dengan penuh hikmah, melalui media massa seperti majalah, laman web, facebook dan sebagainya. Semoga perkongsian ilmu kali ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca dan memberi peringatan kepada penulis yang sering lupa terhadap tanggungjawab sebagai umat Islam. sekian, Wassalam...