Saturday 6 August 2011

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN BERDASARKAN HADIS RASULULLAH SAW

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

" Katakanlah (Wahai Muhammad) : ' Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berkumpul dengan tujuan untuk membuat dan mendatangkan yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.' "  
 (Surah al-Isra' 17:88)

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian, pada kali ini saya ingin berkongsi ilmu tentang kelebihan membaca al-Quran dan dengan sedikit perkongsian ini, moga anda dan saya mendapat manfaat untuk diamalkan dalam kehidupan bagi mencapai redha Allah S.W.T.
Dalil-dalil mengenai kelebihan membaca al-Quran yang saya akan sertakan adalah diambil daripada Mukhtasar Riyadhus Solihin (Ringkasan Riyadhus Solihin) yang diringkaskan oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani daripada kitab asal Riyadhus Solihin yang ditulis oleh Imam Nawawi.

Kelebihan al-Quran dan membacanya 

Al-Bukhari meriwayatkan daripada uthman r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: "sebaik-baik kamu adalah orang yang mahu mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain."          (Riwayat al-Bukhari)


Muslim meriwayatkan daripada Abu Umamah r.a., beliau berkata:
" Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: " Bacalah al-Quran, kerana pada hari Kiamat kelak dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya"          (Riwayat Muslim)


Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a., daripada Nabi S.A.W., Baginda bersabda:

"Tidak boleh ada iri hati, kecuali dalam dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang diberi kemampuan menghafal al-Quran, lalu ia membacanya, baik pada malam hari mahupun siang hari; dan terhadap seseorang yang dikurniakan harta oleh Allah, lalu ia infakkan, baik pada malam hari mahupun siang hari."

( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Orang yang gemar membaca al-Quran dan sudah mahir dalam membacanya kelak akan bersama golongan mereka yang mulia lagi berbakti. Adapun orang yang gemar membaca al-Quran, namun dalam membacanya masih terangkak-rangkak, maka ia akan mendapat dua pahala."   ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
" Rasulullah S.A.W. bersabda:

" Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, lalu membaca kitab Allah dan mempelajarinya , melainkan akan turun ketenangan kepada mereka; mereka akan diliputi rahmat; mereka akan dinaungi para malaikat; dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya. "