Tuesday 26 April 2011

Kepentingan Dakwah

Assalamualaikum w.b.t.
Kepada muslimin dan muslimah sekalian, perkongsian ilmu yang dapat saya kongsikan pada kali ini adalah kepentingan dakwah. Perkataan Dakwah berasal dari bahasa Arab iaitu da'a, yad'u yang bermaksud menyeru, memanggil dan mengajak. Namun, kita dapat lihat sama ada menyeru, memanggil atau mengajak itu dalam konteks ke arah perkara positif dan juga negatif.
Pada kali ini, apa yang hendak saya kongsikan adalah dakwah ke arah positif iaitu kepentingan umat Islam untuk berdakwah di jalan yang di-Redhai oleh Allah s.w.t. Kita merupakan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang dikurniakan pelbagai anugerah, keistimewaan dan Rahmat daripada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

           " Engkau umat terbaik dikeluarkan untuk manusia..." (Surah Ali-Imran : 110 )


Al-Kalbi mengatakan ayat ini menerangkan tentang kelebihan umat Islam berbanding umat-umat yang lain. Tetapi, sebagai umat Islam, janganlah kita lupa tentang tanggungjawab kita sebagai umat Islam iaitu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

" Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dibetulkan dengan secara hikmah iaitu dengan kuasanya, jika tidak mampu, dengan lisannya, jika tidak mampu lagi, dengan hatinya. Yang demikian ini iman terlemah "


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

" Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya (permusuhan) " ( Surah Al-Maidah : 2 )


Dalil-dalil di atas jelas membuktikan tanggungjawab kita dalam melaksanakan tugas dakwah sama ada kepada umat Islam atau bukan Islam. Namun, dalam melaksanakan dakwah tersebut, kita haruslah melaksanakan dengan cara yang berhikmah dan melengkapkan diri kita dengan sifat-sifat mahmudah. Ba'dhus Salaf berwasiat kepada anaknya seraya berkata " Bila kamu hendak amar makruf tanamlah dalam dirimu dengan sabar dan percayalah akan pahala Allah. Barangsiapa percaya akan pahala Allah, tidak akan terkena penyakit". Amalan dakwah merupakan amalan yang amat dicintai oleh Allah s.w.t.

       Abu Zar al Ghifari r.a. berkata : Telah berkata Abu Bakar As Shiddiq r.a. " Ya Rasulullah, adakah jihad selain memerangi kaum musyrikin?" Rasulullah s.a.w. menjawab " Sesungguhnya Allah punya para pejuang di muka bumi lebih utama dari para syuhada'. Mereka hidup diberi rezeki, dimuliakan Allah dan para Malaikat langit menghias Syurga untuk mereka." Abu Bakar bertanya, " Siapa mereka ?" Rasulullah s.a.w. menjawab, " Orang yang memerintah kebaikan melarang kemungkaran serta suka dan benci kerana Allah. Demi zat yang diriku dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya seorang hamba dalam bilik di atas bilik-bilik para syuhada. Tiap bilik ada tiga ratus pintu dari yakut dan zamrud hijau dan di atas tiap pintu ada nur. Tiap lelaki dari mereka dikahwinkan dengan tiga ratus bidadari yang bermata indah. Bila dia memandang salah seorang dari mereka, bidadari itu berkata " Ingatkah di hari itu kamu memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran? " Jika dia menoleh kepada bidadari, yang lain pun berkata, Ingatkah di tempat itu kamu amar makruf dan nahi mungkar? " ( dipetik dari terjemahan kitab Mukashafah Al qulub karangan Imam Al Ghazali)

       Sebagai kesimpulannya, umat Islam adalah umat istimewa berbanding umat-umat terdahulu, namun kita diamanah untuk melaksanakan dakwah seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.. Dakwah tersebut boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti secara lisan dengan penuh hikmah, melalui media massa seperti majalah, laman web, facebook dan sebagainya. Semoga perkongsian ilmu kali ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca dan memberi peringatan kepada penulis yang sering lupa terhadap tanggungjawab sebagai umat Islam. sekian, Wassalam...

No comments:

Post a Comment