Saturday 30 April 2011

Tipu Daya Syaitan

          Awaslah saudara-saudaraku terhadap ancaman syaitan!!

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya syaitan bagimu adalah musuh, maka jadikanlah  dia  sebagai musuh!”

Renungilah kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW :

Dirawikan dari Nabi SAW, baginda bersabda: “ Di kaum Bani Israel ada seorang rahib. Syaitan hendak menjeratnya dengan cara merasuk tubuh seorang  jariah. Kemudian diilhamkan ke dalam hati keluarganya agar mengubatnya saja kepada seorang rahib . Mereka membawanya kepada rahib dan rahib tersebut menolak permintaan tersebut. Namun keluarga tersebut sering datang sehingga rahib itu menerimanya. Ketika jariah itu ada di sisi rahib untuk diubati, syaitan datang menggoda sehingga rahib itu menghamili  jariah tersebut. Syaitan lalu berbisik kepada rahib” Dia hanya akan mencemarkanmu saja bila keluarganya datang. Maka bunuhlah dia ! Bila keluarganya datang bertanya padamu, kata saja dia telah mati.” Rahib itu membunuh lalu menguburkannya. Kemudian syaitan membisikkan kepada hati keluarga jariah tersebut bahawa rahib itu telah menghamili , membunuh dan menguburkannya. Kemudian keluarga itu segera datang kepada rahib dan bertanya tentang anaknya. Rahib berkata dia telah mati. Namun mereka hendak membunuh rahib itu. Kemudian syaitan menghampiri rahib dan berkata” Akulah yang menyerupai jariah itu hingga sakit. Aku pula yang menggoda hati keluarganya. Maka taatlah kepadaku, tentu kau kuselamatkan dari mereka.” “ Dengan apa? “ Tanya rahib. Syaitan berkata “ Bersujudlah kepadaku dua kali!” kemudian rahib sujud kepadanya dua kali, lantas syaitan berkata, “ Sungguh aku tidak perlu menanggungmu”

Inilah yang telah diingatkan oleh Allah SWT: “ Dan seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia : Kafirlah (menyangkallah) engkau. Maka tatkala manusia itu kafir ia berkata: Aku berlepas diri daripadamu...”                       ( As-Hasyr: 16 )           




7 perkara yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali tentang tipu daya syaitan terhadap manusia supaya manusia meninggalkan Ibadat kepada Allah:

1 . Syaitan melarang manusia untuk taat perintah Allah SWT
Bagi manusia yang dilindungi Allah SWT, akan berkata “aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.
2 . Syaitan menghasut supaya manusia menangguh-nangguhkan dalam melaksanakan ibadat.
 Orang yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan “ kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalan ku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku melakukan amal  yan g berlainan.”

3 . Syaitan menyuruh manusia bersegera dalam melakukan amal kebaikan. 
Syaitan berkata “ cepat beramal agar engkau dapat melakukan amalan-amalan yang lain”. Orang yang dipelihara oleh Allah SWT akan mengingatkan dirinya dengan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud” sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit”

4 . Syaitan menyuruh manusia melakukan ibadat dengan sempurna agar tidak dicela oleh orang lain.
 Orang-orang yang selamat akan berkata “ penilaian cukup hanya bagi Allah SWT dan tidak bermanfaat beramal kerana manusia”.

5 .Syaitan mendorong  manusia untuk berasa takjub  terhadap ibadat yang dilakukan. 
Syaitan berkata “ betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu”. Orang yang dipelihara oleh Allah SWT akan mengingatkan diri dengan berkata “ semua kesempurnaan dan kekuatan hanyalah milik Allah dan bukanlah  kekuatan dan kesempurnaanku. . Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk aku  beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula”.

6 . Syaitan menghasut  manusia untuk beribadat tetapi memasukkan sedikit perasaan riak dalam hati manusia  iaitu berharap amalan yang dilakukan diketahui orang lain.
Orang yang selamat akan berkata “‘Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia”

7 . Syaitan berkata” :
 ‘Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka”. Orang yang beriman akan berkata “ Aku hanyalah hamba Allah dan wajib bagiku menuruti perintahnya. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku tetap melakukan ibadat untuk perbanyakkan pahala dan sebaliknya jika aku ditentukan sebagai orang yang celaka, aku tetap terus beribadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku.”

No comments:

Post a Comment